Keselamatan Siber: Open Source bukan punca kelemahan keselamatan siber

Keselamatan Siber

BARU-BARU ini, terdapat laporan akhbar yang menyalahkan penggunaan Perisian Sumber Terbuka atau Open Source Software (OSS) sebagai salah satu punca laman web digodam.

Di sini, saya ingin menjelaskan apa sumbangan Perisian Terbuka ini kepada pembangunan teknologi maklumat.

Perisian Sumber Terbuka atau Open Source Software (OSS), adalah hasil daripada satu amalan bersifat sukarela dan gotong royong.

Ia adalah usaha untuk memastikan tiada siapa yang memiliki perisian dengan lesen yang hadkan penggunaan dan kenakan kos yang tidak berpatutan kepada penggunaan.

Ia bertujuan untuk memastikan perisian yang dibangunkan dapat dikongsikan pembangunan dan disebarkan tanpa kerisauan kepada milikan dan juga kos lesen.

Untuk memastikan prinsip ini berterusan dan sah disisi undang-undang, komuniti Sumber Terbuka melalui Open Source Initiative (OSI) iaitu satu organisasi antarabangsa, menyediakan platform untuk menjamin semua perisian sumber terbuka mempunyai lesen yang bersifat terbuka dan boleh diguna pakai oleh pelbagai pihak sama ada individu, organisasi bukan kerajaan, syarikat-syarikat dan kerajaan.

Usaha ini telah berlaku sejak Februari 1998, lebih 20 tahun perlesenan sumber terbuka dan usaha secara komuniti, sukarela dan gotong royong ini dilakukan, malah ia terus semakin kuat dan berterusan dengan sokongan pelbagai pihak dan syarikat yang menerima manfaat yang besar daripada segi kewangan dan juga faedah-faedah lain.

Lebih 20 tahun sejak 1998, perisian sumber terbuka telah menjadi tulang belakang industri ICT dunia seiring dengan keselamatan siber yang mengikuti rapat perisian sumber terbuka.

Terlalu banyak untuk disenaraikan daripada dahulu hingga sekarang pada setiap perisian sumber terbuka yang dibangunkan; daripada compiler C yang menjadi asas pembangunan kepada pelbagai lagi perisian sumber terbuka sehinggalah kepada Kernel Linux yang menjadi asas kepada perisian komputer-komputer dan peralatan rangkaian yang menjalankan internet dan juga perisian Android yang kuasakan telefon bimbit yang kita gunakan.

Kebanyakan syarikat-syarikat besar sekarang ini adalah berasas teknologi yang dibina atas perisian sumber terbuka. Bermula dengan syarikat Red Hat, yang pada awalnya mahu memudahkan pemasangan sistem operasi untuk komputer dan kemudiannya menjadi syarikat โ€˜Bilion Dolarโ€™ yang kemudian dibeli oleh IBM, gergasi ICT dunia.

Google merupakan penyokong kuat kepada perisian sumber terbuka sejak daripada penubuhannya lagi.

Komputer-komputer yang menyokong infrastuktur Google dalam menjalankan perniagaan enjin carian yang dibina atas perisian sumber terbuka, kini berkembang penggunaan di seluruh dunia.

Google menjadi gergasi industri ICT dengan perisian sumber terbuka, begitu juga dengan Facebook, yang mula dibangunkan dengan perisian sumber terbuka PHP.

PHP adalah bahasa atur cara yang menjalankan Facebook malah ribuan laman-laman web seluruh dunia. Ia sungguh popular hingga sebarang isu keselamatan yang berlaku terasa bagai ia satu kelemahan PHP, sedangkan ia disebabkan oleh ralat yang berlaku kerana pembangunan perisian dengan cara amalan yang tidak selamat dan cekap.

Ia juga disebabkan tiada tindakan segera untuk membetulkan ralat.

Kerajaan Malaysia melalui agensi Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan juga CyberSecurity Malaysia (CSM) turut menyediakan program latihan khusus untuk pegawai-pegawai ICT dalam kerajaan dalam penggunaan Perisian Sumber Terbuka dan Keselamatan Siber.

Ia menjadi keperluan kepada kerajaan kerana penggunaan luas perisian sumber terbuka dan menangani masalah keselamatan siber dalam pelbagai kemudahan dan perkhidmatan ICT kerajaan Malaysia.

Ia harus dikekal peranan dan berterusan untuk melatih dan melahirkan kakitangan ICT yang setaraf, berkemahiran tinggi dan bekemampuan mengendalikan perisian sumber terbuka dan keselamatan kod serta aplikasi.

Tidak dapat dinafikan ada laman-laman web yang bocor atau ditembusi, namun kita perlu lihat dalam pandangan yang lebih luas, dalam beribu-ribu laman web, dengan ratusan laman-laman web perkhidmatan utama, semuanya dapat dipertahankan dan tiada isu-isu keselamatan.

Sebahagian kecil laman-laman web yang tembus apabila diperiksa semula adalah laman-laman web yang tidak penting atau perkhidmatan dalam peringkat untuk ditamatkan.

Malah ada juga yang sedang dalam usaha pembaikan, hanya keadaan tidak kesempatan pada masanya disebabkan isu isu tertentu.

Tiada mana mana aplikasi sumber terbuka yang 100 peratus bebas dari ancaman siber tetapi harus diingatkan bahawa kesedaran dalam menguruskan aplikasi sumber terbuka ini harus menjadi perkara yang utama iaitu โ€œUpdate, Patching, Maintenance & Support (UPMS)โ€ kerana ia saling berkait antara satu sama lain.

Ia harus berterusan dan tidak ditinggalkan separuh jalan hanya kerana mungkin disebabkan ramai beranggapan perisian sumber terbuka adalah percuma dan FOCย  tetapi tidak bagi servisnya yang perlu disediakan bajet yang sepatutnya.

Kami dalam Industri ICT sama ada individu, swasta dan juga kerajaan, sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan ICT dan Internet Malaysia ini sentiasa dalam keadaan selamat dan dikemas kini.

Perisian Sumber Terbuka dan Keselamatan Siberย  komuniti-komunitinya adalah satu usaha sukarela. Ia dilakukan dengan bertujuan untuk kebaikan untuk semua.

Tanpanya kita semua tidak akan dapat perkhidmatan yang canggih dan maju seperti sekarang ini.

Harisfazillah Jamel & Mohd Fazli Azran
Komuniti Sumber Terbuka Malaysia & Komuniti Keselamatan Siber

Sumber: AstroAwani

Comments

Published by

PakCu

I'm a simple person